MENYOROT zaman yang semakin laju dan didominasi dunia digital, pantun sering dianggap lapuk atau ‘old-school’.
Namun, berbeza dengan personaliti media sosial, Ahmad Fedtri Yahya.
Siapa sangka, dalam kesibukan sebagai pengacara, penerbit dan figura awam, suami kesayangan Nurul Anati itu tetap teguh menyemai cinta pada seni pantun, satu warisan Melayu yang makin terpinggir dek zaman.
Beliau tidak sekadar berpantun di media sosial, bahkan turut turun ke gelanggang, memantun dengan jiwa dan akhirnya menang dengan bergaya.
Baru-baru ini, ketokohannya dalam bidang tersebut dinoktahkan dengan muncul sebagai Juara Pertandingan Pantun sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP).
Kemenangan tersebut tidak hanya menunjukkan kehebatan spontan Fedtri dalam bermain kata, tetapi juga menjadikan beliau suara penting dalam usaha memperkasakan seni berbahasa.
Yang pasti, ia bukan sekadar trofi, sebaliknya simbol bahawa pantun masih boleh ‘hidup’, malah bersinar di tengah hiruk-pikuk dunia digital.
Setiap kali beliau berbicara, ramai yang melahirkan rasa kagum, bahkan terpesona dek lontaran kata-kata puitisnya. Spontan namun cukup menangkap jiwa.
SinarPlus baru-baru ini menerusi satu temu bual eksklusif berkesempatan bertanyakan kepada tuan punya badan bagaimana permulaan bercambahnya benih-benih minat beliau terhadap dunia pantun.
“Saya selalu tengok buku sastera kakak yang masa tu belajar tingkatan enam dan maktab perguruan.
“Dari situ mula rasa nak cuba dan timbul minat tetapi belum ada kemahiran. Saya mula berjinak-jinak dalam bidang tersebut apabila mewakili sekolah dan daripada situ terus mengasah bakat,” kongsi Fedtri mengenai bagaimana minatnya terhadap pantun mula berputik sejak kecil.
Bagi anak kelahiran Pantai Remis, Perak itu, pantun mungkin nampak mudah kerana cuma empat baris. Namun, sebenarnya ia memerlukan keseimbangan rima, logika, diksi dan puitika yang tepat.
“Saya paksa diri untuk berpantun setiap hari. Sebab saya percaya, kalau tak diasah, akan berkarat,” jelas lelaki berusia 43 tahun itu lagi.
Apa yang lebih membanggakan, bapa kepada empat cahaya mata tersebut kini giat menjelajah sekolah termasuk ke pedalaman Sarawak sebagai Ikon Bahasa Kebangsaan yang dianugerahkan oleh DBP, dalam menyampaikan misi memperkenalkan semula pantun dengan cara yang segar serta relevan.
Lebih menarik, Fedtri bukan hanya menggunakan pantun dalam majlis rasmi, malah turut menyelitkannya dalam video perkahwinan, sesi jual beli dan kandungan media sosial.
Bukan itu sahaja, pantunnya yang menukar kata-kata kesat kepada bait sopan sebelum ini juga pernah tular dan mendapat perhatian ramai.
“Pantun ni sangat fleksibel. Nak jenaka boleh, nak cinta boleh, nak sindir pun boleh. Asalkan kita ikhlas, dia akan ‘sampai’,” ujarnya lagi.
Pantun ChatGPT
Ditanya pandangan tentang segelintir yang bergurau mengatakan “Awak masuk, confirm menanglah,” Fedtri menegaskan, penyertaannya bukan soal kemenangan, tapi tanggungjawab mengangkat seni yang makin dilupakan.
“Jujurnya, ada yang ‘nakal’ mengusik. Saya asalnya nak masuk sekadar memeriahkan majlis, tapi akhirnya jadi tekanan disebabkan banyak faktor.
“Diundi dalam kumpulan sukar, kurang masa untuk berlatih dengan ahli pasukan dan faktor keletihan — terlibat dengan acara penting hari-hari sebelumnya.
“Malah, saya tak jangka, selepas lebih 20 tahun dalam industri, ada rupanya pantun antara media.
Saya rasa teruja dan memberanikan diri untuk beraksi. Alhamdulillah, dipermudahkan untuk meraih kemenangan.
“Bila diangkat juara, mungkin lebih mudah untuk saya ke hadapan sebagai pelapis penggiat pantun yang mungkin ada kekangan faktor kesihatan dan sebagainya,” kongsinya.
Pada masa sama, Pengulas TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa itu turut mengakui, menggarap impian dalam menghasilkan satu program ala Explorace yang berkonsepkan jejak bahasa dan pencarian harta karun linguistik.
“Saya nak orang kejar kosa kata, simpulan bahasa. Seronok kalau orang hargai bahasa macam harta karun.”
“Selagi saya masih punya kudrat dan rasa cinta pada bahasa, pantun tidak akan hilang ditelan zaman. Bahkan akan terus hidup, satu bait ke satu bait, dalam suara yang penuh rasa dan makna,” ungkapnya penuh makna.
Bila ditanya pandangannya terhadap generasi muda yang kini lebih selesa dengan media sosial seperti Instagram, TikTok dan sebagainya, Fedtri tidak cepat menghakimi.
“Pantun kena ada rasa. Saya risau kalau generasi sekarang kenal hanyalah pantun tanpa jiwa, macam pantun ChatGPT. Kita kena hasilkan pantun yang datang dari pemerhatian dan pengalaman sebenar.
“Sebab itu kalau ada yang berminat, kena berguru. Ini kerana pantun tak boleh hanya dengan buku. Kena masuk kelas.
“Bagi anak muda yang nak belajar berpantun, tetapi tidak tahu nak bermula dari mana, nasihat saya, buat sesi jual beli bermula dengan dua kerat.
“Kemudian upgrade ke level lain. Pilih tema yang santai dan ringan terlebih dahulu dan paling penting kena rancang” tuturnya lagi.
SUMBER : https://sinarplus.sinarharian.com.my/ampArticle/183652